“Sambil menatap potret ibu tersayang, air mataku mengalir deras. Sebak dada ini rasanya. Esok akan muncul lagi ‘hari’ itu. Hari yang begitu bermakna dalam diriku, lebih-lebih lagi sejak diri sendiri pun sudah bergelar ibu kepada 2 orang anak-anak yang comel. Alangkah bahagianya menjadi seorang ibu. Kini baru ku tahu!

Entah mengapa, tiba-tiba kotak fikiranku melayang-layang mengenang kembali zaman sewaktu aku masih bergelar remaja. Aku teringat bagaimana aku melayan ibuku pada ketika itu. Ibu yang telah membesarkanku dengan penuh kasih sayang dan sanggup berkorban segala-galanya untukku. Kami bukanlah berasal dari keluarga berada, macam sesetengah rakan-rakan sekolahku yang lain. Lantas hidup di dalam keadaan yang serba ‘daif’ pada ketika itu telah menjadi suatu yang amat menyeksakan bagi diriku.
Aku ingin punya wang yang banyak seperti teman-teman yang lain supaya aku boleh memakai pakaian yang cantik2, beli hanfon yang canggih dan perhiasan yang mahal serta pergi enjoy di shopping2 complex macam mereka semua. Namun, malang nasibku kerana ibu bapaku hanyalah penoreh getah. Manalah mereka ada wang untuk ‘membiayai’ gaya hidupku yang berlandaskan keseronokan semata-mata.
Entah bagaimana, daripada seorang anak yang taat dan sayang akan ibu bapanya dari kecil, aku membesar menjadi umpama ‘raksaksa’ di rumah sendiri. Aku sering meminta duit daripada ibu, dengan alasan untuk membeli buku-buku sekolah atau membayar yuran ini, yuran itu… tetapi sebenarnya itu semua tipu dusta semata-mata! Aku inginkan duit kerana aku ingin enjoy dengan teman-temanku.
Lantas, ibu dengan segala kudratnya yang ada, sanggup bersengkang mata pagi dan malam untuk menyiapkan kuih-muih dan nasi lemak untuk dijual pada pagi harinya, demi mencari wang tambahan. Ibu rela tidak pergi menoreh getah. Semuanya gara-gara aku memerlukan wang! Ada ketikanya ibu terpaksa mengutip barang-barang terpakai untuk dijual hanya supaya kami sekeluarga dapat menikmati sesuap nasi. Tapi aku tidak kisah itu semua…. selagi aku dapat apa yang aku nak…
Hari demi hari, aku menjadi semakin ‘ringan mulut’. Pantang ditegur atau dinasihat, aku akan menjerkah dan mengeluarkan kata-kata kesat pada ibu. Aku turut mencubit-cubit tangannya hingga merah kerana terlalu marah. Aku lupa yang tangan itu jugalah yang telah mendukungku semasa kecil, dan tangan itu jugalah yang memegang tanganku supaya aku tidak jatuh! Ibu tidak pernah marah padaku kerana aku tahu dia sangat sayang pada anak tunggalnya ini…Ya Allah! Sesungguhnya aku memang anak derhaka ketika itu. Tapi aku tidak sedar…
Namun, mungkin Tuhan masih sayang padaku kerana seluruh hidup aku berubah sejurus bertemu dengan seorang lelaki yang menjadi pasangan hidupku kini. Dia telah berusaha sedaya upaya untuk mengubah diriku menjadi seorang insan yang lebih baik. Baik pada ibu bapa dan baik pada diri sendiri. Alhamdullillah dia telah berjaya. Beransur-ansur perangai ‘zalim’ku bertukar menjadi baik. Aku lebih hormat dan sayangkan ibu bapaku. Aku semakin sedar akan kesilapanku dan kejahatanku selama ini. Aku menyesal yang amat dan aku hanya berharap agar ibu dapat memaafkan kesilapanku selama ini.
Tatkala aku di bilik pembedahan semasa menunggu kelahiran cahayamata sulungku, kelu lidahku untuk berkata-kata tentang seksaan yang aku alami semasa ingin melahirkan anak. Mungkin ini adalah balasan dari Yang Maha Esa. Aku bertarung selama berjam-jam lamanya di dalam bilik itu sambil terkenangkan perbuatan burukku pada ibu. Kini baru kutahu perasaannya. Baru kutahu bagaimana seksa dan sakitnya ibu semasa ingin melahirkanku. Dan yang lebih ajaibnya ialah bagaimana ibu semakin menyayangi diriku walaupun dia tahu bahawa akulah yang menjadi sebab kepada segala kesakitan dan penderitaan yang dialami semasa melahirkan aku.
Ya Allah! Ampunilah segala dosa-dosaku pada ibu. Aku lahir dari dalam perut ibu dan aku adalah sebahagian daripada dirinya. Kalau awal-awal lagi aku telah pandai berfikir dan lebih menghargai kasih sayang ibu padaku, mungkin tidak akan terdetik sekalipun untuk aku mengasari atau menzalimi ibu yang telah membawaku ke dalam dunia ini. Kini aku tahu bagaimana perasaan seorang ibu dan faham akan kasih sayang seorang ibu pada anak-anaknya. Aku sentiasa berdoa agar anak-anakku kelak tidak akan mengulangi kesilapanku.
Air mataku bergenang lagi sambil melihat senyuman ibu pada gambar yang aku pegang. Setiap kali Hari Ibu muncul, dadaku menjadi sebak dan airmataku takkan berhenti mengalir. Gambar itu diambil pada 3 tahun yang lalu. Dan selama itulah juga ibu telah meninggalkan aku! Aku berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan dia tergolong dalam golongan orang-orang yang beriman! Terima kasih Tuhanku kerana telah memberi aku kesempatan untuk memohon ampun dari ibu tersayang, mengucapkan kata-kata sayang dan memeluk dan menciumnya sebelum Kau membawanya pergi selama-lamanya dari diri ini…
Selamat Hari Ibu dan terima kasih atas segala-galanya…. “

Writer’s note: Cerita di atas hanyalah rekaan semata-mata. Namun, ia menggambarkan kepentingan dan pengorbanan seseorang ibu. Ambillah iktibar daripada kisah di atas dan jangan sesekali menderhaka kepada ibu bapa. Sesungguhnya syurga itu di bawah tapak kaki ibu… Dengan itu penulis ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada ibu tercinta dan kepada semua ibu-ibu di seluruh dunia… mudah-mudahan semua pengorbanan dan penat lelah mu menjaga anak-anak selama ini tidak akan sia-sia…

Pastikan anda mengunjungi laman kami, www.setelkahwin.com untuk membantu di dalam perancangan majlis perkahwinan anda. Jangan lupa juga untuk mendaftar sebagai Member/Vendor bagi mendapatkan info-info terperinci tentang urusan yang berkaitan dengan hal ehwal perkahwinan. Dan jangan lepaskan peluang untuk menyemak senarai direktori perkahwinan kami yang telah mencecah lebih daripada 3500 penyedia-penyedia khidmat perkahwinan di seluruh Malaysia…!
